.: COUNTLESS THANKS TO :.

Saturday, March 30, 2013

300313 - SELAMAT TINGGAL, QUARTERS PERTANIAN

Sabtu yang panjang. Hujung minggu yang pendek.

Hmm.

Selamat tinggal Quarters Pertanian, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. Tempat jatuh lagi kan dikenang, inikan pula tempat bermain.

Kampung nan hijau yang tebal hutan di kelilingnya di tengah-tengah ibu kota Malaysia.

Dingin airnya di tengah hari, memang boleh menggigil tapi rasa segar sungguh bila mandi.

Terik mentarinya mengering dan mematikan kuman-kuman pada kain jemuran yang mudah ditebar keliling rumah dek mewahnya kawasan bertanah berumput berbukit bercerun, pilih saja mana tempat nak digantung jemuran.

Bila malam gamat bunyi orkestra Tuhan, sesekali terseling bunyi salakan atau lolongan anjing atau brek kecemasan kereta yang melalui selekoh di 'jalan dalam menuju ke Tugu Negara dari simpang Istana Selangor.

Jalan Sultan Salahuddin yang banyak menyimpan pelbagai kenangan. Kiri kanan jalannya dan kawasan sekeliling penuh pohon pelbagak jenis seolah-olah tunduk gemalai menyambut kedatangan kita dan melambai mesra mengucapkan selamat tinggal setiap kali kita beransur pulang, menuju ke hiruk-pikuk ibu kota Kuala Lumpur yang tak sampai lima minit pun, kalau tak sesak di sepanjang kawasan Kementerian Kerja Raya-Jabatan Perdana Menteri-Bank Negara-Sekolah Kebangsaan Sultan Hishamuddin Alam Shah-Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (memang tak sampai lima minit pun, kalau merempitlah hahaha!)

Jalan yang selalu jadi tempat penggambaran drama dan filem Yusof Haslam, banyak juga dipaparkan dalam drama dan filem Melayu yang lain. Jalan yang sibuk kereta merayap pada waktu siang sebab banyaknya pejabat kerajaan di kawasan situ tapi bila malam keadaannya saaaaangat sunyi.

Dekat dengan Padang Merbuk, salah satu tempat terkenal untuk sebarang acara marathon dsb. Lintas Jalan Parlimen yang sentiasa laju-laju kenderaannya untuk ke Taman Tasik Perdana. Kalau malas berjalan boleh naik kenderaan dan letak di tempat letak kereta depan pintu masuk utama Bukit Aman. 
 
Ke depan lagi boleh ke Taman Burung atau Taman Rama-Rama. 
 
Kalau sakit dan sanggup menunggu lama untuk jumpa doktor, boleh ke Klinik Tanglin. Nombor giliran lama sungguh? Tak jadi masalah - lintas jalan ke Medan Selera Tanglin dan segala macam menu ada, pesan saja, dari Isnin hingga Ahad ada perkhidmatannya. 
 
Di sebelah medan selera tu Sekolah Menengah (Perempuan) Methodist Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1896 (1996 hari tu ulangtahun ke-100nya). 
 
Nak solat? Singgah ke Masjid Negara di penghujung jalan yang turut ada terowong yang menghubungkan kawasan situ dengan Kompleks Dayabumi, Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, stesen Keretapi Tanah Melayu di seberang jalan sana.

Juga dekat dengan Dataran Merdeka, Jalan TAR, Masjid India, KWSP, Sogo, Kompleks Pertama, Kompleks Campbell dan boleh saja ke kawasan Chow Kit dan Kg. Bharu ikut jalan dalam di Bukit Tunku yang berliku-liku. Tempat aku layan corner tak berani baring hehehe...

Haih.

Aku akan merindui kamu. Selalu...
 
 

No comments: