.: COUNTLESS THANKS TO :.

Wednesday, March 6, 2013

060313 - UNTUK SI BAPA


aku tersentuh baca surat khabar, keluarga yang ditinggalkan perajurit negara mempertahankan Sabah hari tu. sedih tengok gambar - tak sanggup dah nak baca ceritanya pun. bukan tak prihatin. tapi aku sedih. semoga mereka kan dapat pembelaan selepas nyawa bapa mereka terkorban mempertahankan negara.

saban hari aku terjumpa adik-beradik bersempit-sempit atas satu motor yang apak mereka bawa. penuh hati-hati mengelakkan kereta dan lubang-lubang durjana yang banyak di jalan raya. hanya sebab nak pastikan anak-anak sampai ke sekolah dengan selamat dan jayanya.

ada sekali aku terjumpa seorang budak sekolah, dipimpin bapanya yang bertongkat putih, menuju ke sekolah. aku cuma mampu doakan si anak akan berdaya tinggi untuk membawa kehidupannya ke arah yang lebih baik demi membalas jasa si bapa.

tadi aku ternampak seorang bapa menaiki motor dengan anaknya di bakul, tertunduk tertidur barangkali. penat sangat agaknya - KL memang panas sangat hari ini. dia bawa motornya perlahan saja, takut anaknya terjaga agaknya.

semalam aku terbaca di akhbar, seorang bapa di Jepun, ditemui mati di bawah timbunan salji tapi anak perempuannya yang berusia 9 tahun, walaupun lemah, masih selamat dan teresak-esak mendakap tubuh bapanya yang dah tak bernyawa, dia dibaluti baju panas bapanya. trak yang mereka naiki rosak, terperangkap dalam ribut salji dan mereka dijumpai hanya 300 meter saja dari trak mereka.

masa nak pindah rumah baru-baru ni, abah terjumpa medal emas aku masa tingkatan 2 dulu, menang satu kejohanan. katanya, dalam banyak-banyak benda dia jumpa, antara yang buat dia rasa bangga adalah bila tengok medal tu. aku pun dah lupa sampai aku tengok sendiri medal tu.

abah, apak, bapak, bapa, ayah, walid, daddy, papa - walau apa pun gelarannya, tanpa mereka, siapalah kita.
mungkin tak melahirkan tapi sama-sama membesarkan kita. mungkin tak sama ceritanya tapi serupa saja peranan mereka.
mungkin berbeza cara menzahirkan kasih sayang tapi sama saja perasaan mereka terhadap zuriat keturunan mereka.

ada yang tak terucap, ada yang tak tercakap.
walau terzahir tak seindah yang diharap.
terima kasih wahai lelaki pertama dalam hidup ini.
kerana berbakti tanpa jemu saban hari.

demi menjaga amanah Tuhan ini.
walau penat tapi masih tanpa henti.
walau kami nakal, bermacam-macam akal.
tapi tetap tabah, tanpa jemu dan terus cekal.

buat yang masih memiliki, jangan berhenti menyayangi.
buat yang sudah kembali, jangan berhenti doa diberi.
buat yang tidak mengenali, jangan sekali-kali berhenti berusaha menjadi seorang bapa yang anak-anaknya kan sentiasa sanjungi.
kerana kalau bukan sebahagian mereka dalam diri, kita tetap takkan di sini.



No comments: