.: COUNTLESS THANKS TO :.

Tuesday, January 15, 2013

150113


Betapa dalamnya hati merindu, 
pulangnya aku disambut syahdu, 
terpekik kecil menzahirkan ria,
bertangisan bila lambat aku mendekati susuknya.

Bersilih-ganti rengekan dan jeritan,
menunggu lagi aku berkemas-kemasan,
memunggah mengatur mutiara dititiskan,
tersimpan rapi dalam wadah dilabelkan.

Jeritan gembira bercampur tak sabar,
menduga semua hati yang mendengar,
walau kecil susuknya suaranya sangat hingar,
menyatakan hasrat sarat rindu nan memijar.

Ku siram kaki dan tangan dengan air sejuk,
rindu dendamnya makin kacau lagi merasuk,
bimbang menyerang andai dia lelah dan merajuk,
cepat ku rangkul susuknya dalam hangat peluk ku pujuk.

Ternyata rindunya terlalu amat,
tak daya memekik atau mengomelkan lagi hasrat,
segala rindu dilepas penuh kesumat,
mata terpejam mulut terkatup nan erat menikmati penuh nikmat.

Tiba masa dahaga kasih kehausan sayangnya terlampiaskan,
waktu menyuci dan bersiap pun selesai dalam aman,
aku yang lapar mencapai pisang dalam pandangan,
bulat matanya tahu itulah yang baru jadi kegemaran.

Seinci pisang dalam bekas aku lecekkan,
titisan mutiara tak satu auns tapi cukup disebatikan,
lanjutan titisan mutiara pengenalan semulajadi aku berikan,
supaya dia merasa sebenar-benar ciptaan Tuhan.

Tercuit ingin tahu bila terdengar bunyi,
sesuatu yang keras berlaga dengan sudu besi,
proses menyuap seketika terhenti,
gusinya aku teliti dengan mata dan jari.

Terkejut hati sukar digambar perasaan,
giginya mula membuat kemunculan,
padanlah ngilu masa dia cuba mendapatkan mutiara yang dititiskan,
gigi pertamanya muncul di gusi bawah belah kanan.

Syukur dipanjat ke hadrat Ilahi,
diam tak diam pencapaian sudah ke tahap ini,
bingung masih menguasai diri,
serasa seperti semalam baru dianugerahi.

Friday, January 11, 2013

110113


Nampak mak kupas pisang.  Sibuk tangan keciknya cuba mencapai.

Dibagi rasa.  Terdiam sekejap.  Badannya tergeli-geleman, dengan matanya lengkap terpejam-pejam dan mukanya bereaksi pelik terhadap rasa pisang tu.

Mak lecek dalam mangkuk comel dengan sudu.  Dia tunggu tapi tangan tetap cuba nak mencapai sudu dalam mulut diam membisu.  Mak suapkan dan dia terdongak, kekok sungguh rupa wajahnya beriak.

11 bulan di dunia inilah pertama kali mak bagi makan betul-betul bagi makan - bukan bagi dia pegang, belek, main dan campak pastu kutip balik sambung main - tak.  Teruja campur hairan barangkali dia tunggu disuap lagi dan lagi tapi pisang secubit seinci pun tak selesai.  Sesuap dimamah setengah minit dia menggeli.

Masuk 5-6 kali suapan, dia tak mahu lagi.  Ditujunya botol semulajadi bekalan Ilahi.  Bagai melepas rasa hati seolah-olah tak jumpa dah berhari dilepaskannya dendam di hati padahal baru tadi dilampiaskan kehausan diri.

Dan pisang masih tak menang, untuk sekian kali...