.: COUNTLESS THANKS TO :.

Wednesday, November 2, 2011

BILA DIGAMIT KENANGAN

Baru-baru ni aku pergi ke klinik Tanglin untuk checkup. Aku pilih situ walaupun aku tinggal bukan di tengah-tengah KL lagi sebab, aku masih kerja di tengah-tengah KL. Senang nak pergi sana kalau perlu waktu kerja kan. Lepas checkup dan sebelum apa-apa hal berlaku sebab aku lapar, aku ajak suami ke medan selera yang bertentangan dengan klinik tu, teringin pula makan nasi lemak gerai Mak Wan yang memang aku suka makan sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Selesai makan aku ambil masa sekejap untuk menghabiskan air yang aku pesan, teh O limau kosong panas sementara suami aku habis makan. Mata aku tertangkap satu keluarga yang masuk ke medan selera tu, pasangan suami isteri yang masih muda juga pada mata aku, agaknya habis tua pun mungkin lewat 30-an. Si isteri mendukung seorang anak lingkungan umur 3-4 tahun dan suaminya pula menolak kerusi roda yang ada anak istimewa yang tak dapat aku agak umurnya sebab rangka badan anak istimewa ni kecil, dek kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sekilas pandang wajahnya saling tak tumpah macam arwah Amil. Putih, bersih dan tersenyum sahaja, tak ada dosa langsung di wajahnya. Aku terus mengucapkan 'Hai' dan tersenyum tapi perlahan sahaja, hanya mampu didengari oleh suami dan kedua orang yang tak dikenali yang duduk di meja kami juga [meja tu ada 6 bangku, aku dan suami duduk sebelah-menyebelah, 2 orang yang tak dikenali tu pula anak lelaki remaja yang duduk sebelah maknya, setentang kitorang].

Kemudian aku rasa hilang kawalan. Air mata aku lekas-lekas muncul. Sebab tak ada tisu, aku minta suami saputangannya dan dia beri tanpa banyak tanya, seolah-olah tahu apa yang berlaku pada aku tanpa dia memandang pun.

Aku cuba tahan air mata, aku tekan saputangan tu sekuat-kuatnya ke mata aku, dengan harapan kesakitan tu akan buat aku lupa untuk menangis, kalau tak boleh buat aku lupa kenangan dengan Amil pun buat seketika sebab aku tak mahu menangis di mata awam.

Tapi makin aku cuba tahan, makin laju pula tangisan. Makin sayu hati dan makin aku gagal mengawal diri. Walaupun muka aku tutup dengan saputangan tu tapi badan aku pula terhinggut-hinggut.

Akhirnya aku berjaya juga mengawal diri dan selepas cuba menarik nafas, air mata ku kesat dan aku berazam tak mahu lagi menangis. Kesian arwah Amil kalau dia tau aku menangis lagi kerana teringatkan dia.

Aku berpaling pada suami cuba tersenyum walaupun susah, tak mahu dia susah hati. Seolah-olah mengerti rasa hati aku yang paling dalam, dia sendiri aku lihat sebenarnya cuba mengawal diri tapi airmata lelakinya tumpah juga, walaupun tak seteruk aku yang siap teresak-esak tadi. Masa tu rasanya waktu seolah-olah terhenti dan kami berdua saja yang masih bergerak, orang keliling dah tak kami peduli dan kami hanyut dalam perasaan serta kesenyapan yang amat sangat. Kami 'hilang' dalam keramaian tu.

Hiba pun menyerang kembali. Air mata aku tak berhenti hingga kami tiba ke destinasi seterusnya.

Al-Fatihah buat arwah Amil dan arwah Munir, yang takkan dilupakan hingga bila-bila pun. Semoga korang berdua tenang di sana, amin.


No comments: