.: COUNTLESS THANKS TO :.

Sunday, October 9, 2011

TOO SHAME

Aku cuba untuk tidak merasa sedih. Bukan kerana aku tak punya perasaan. Tapi kerana aku tak mahu tangisan itu memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan aku sendiri dan kerana aku percaya, ia hanya akan menambah perasaan tidak baik kepada mereka di sana.

Tapi air mata ini tumpah juga walau puas aku tahan. Bukan kerana aku perempuan, maka aku perlu menangis. Tapi kerana ia tak mampu aku bendung, aku tak punya kekuatan dan ketabahan yang Mak miliki. Ya, too shame, kata orang putih.

Aku tahu, banyak lagi yang perlu aku tumpukan. Hidup mesti terus ke depan. Dan tak adil bagi masa depan aku bila aku susah melepaskan masa lalu.

Tapi apakan daya, aku cuma manusia biasa. Cukup banyak kekurangan dan cukup sedikit kemampuan dalam menangani masa kini yang perlu dikukuhkan sebagai bekal masa depan. Aku cuba mulakan dengan usaha memaafkan diri sendiri atas kegagalan menjadi yang terbaik dalam mengubah masa lalu, tapi,...

Mana mungkin masa lalu dapat ku ubah. Menyesalinya pun tiada guna. Cuma ia perlu dalam menginsafi diri supaya tak mengulangi kebodohan dan kejahilan masa dulu bila aku hidup kini dan akan datang hendaknya.

Mudah kalau nak kata, if only I knew what I know now, tapi itu hanya menyalahi konsep Rukun Iman yang ke-6. Menjadikan aku orang yang tak lengkap imannya kerana gagal memahami konsep rukun ke-6 itu dan sebaliknya menganggap aku mampu mengubah kenyataan dengan perkataan if only [kalaulah...]

Apa yang dapat aku katakan cuma, ya, aku memang bersalah kerana tak berusaha menjadi yang terbaik untuk mereka yang berhak dan kini aku menerima hukumannya.

Penyesalan adalah hukuman yang cukup berat untuk ditanggung. Walau sekuat mana pun aku berusaha tapi nampaknya, ia cukup gemar berada di pundakku dan tak mahu meninggalkan aku.

Gembira barangkali dengan kejayaannya dalam menjadikan aku orang yang tersungkur ditimpa perasaan sendiri. Perasaan kosong yang tak bawa apa-apa makna kecuali hanya gah di mata orang atau hebat di atas kertas tapi hakikatnya, ia kosong dalam jiwanya.

Maafkan aku teman - kalau aku membosankan atau memeningkan sesiapa. Tapi kehilangan ini ternyata sukar untuk aku tanggung, dan untuk melepaskannya pula, membuatkan aku takut kalau-kalau aku jadi lupa dan segala kenangan terhapus begitu saja.

Jadi biarlah, buat masa ini, aku tanggung segala hukuman ini. Biarkan aku. Sekalipun ia mungkin memakan diri tapi cukuplah aku seorang yang menanggungnya.

Jika sudi menghulurkan kebaikan, dapatlah kiranya surah al-Fatihah dan doa disedekahkan buat kedua-dua arwah adik aku, Ahmad Munir Mohamad Salim [1984-2006] dan Ahmad Nazeem Mohamad Salim [1993-2011] yang kedua-duanya meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan akibat penyakit Duchenne Muscular Dystrophy.

Bukan simpati yang aku cari. Jauh sekali publisiti. Itu semua tak penting bagi aku. Aku cuma mahu orang jangan jadi seperti aku yang gagal menjadi apa yang perlu aku jadi, kalau pun bukan yang terbaik.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan terus-terusan merahmati bagi yang sudi menghulurkan secebis doa buat mereka.

Terima kasih atas kesudian membaca kepedihan hati aku ini.



No comments: