.: COUNTLESS THANKS TO :.

Tuesday, October 25, 2011

BUKAN MEMBENCI TAPI TOLONGLAH MENGERTI

Aku faham bila orang mahu berniaga sendiri. Bukan semua orang betah melakukan kerja-kerja pejabat, terkurung di meja kecil selama 8 jam terperangkap dalam hawa dingin pejabat, terperuk kadang-kadang dengan segala macam kerenah birokrasi dan ragam pelanggan yang datang dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang.

Aku faham bila orang mahu bekerja sendiri. Bukan semua orang sesuai bekerja di bawah arahan dan seliaan ketua, terutama sekali bila ketua yang berada di atas mereka adalah orang yang tidak begitu mudah untuk dibawa berbincang atau memang ada antara kita yang merasakan bekerja di bawah arahan orang adalah, sangat-sangat susah.

Tapi serius aku tak faham dan aku jadi benci bila orang yang mahu bekerja sendiri dengan cara berniaga menjadi sangat-sangat tak hormat dengan orang lain hingga tanpa ada rasa bersalah, menceroboh ruang peribadi orang lain hanya untuk melariskan jualan mereka.

Betul, perniagaan memerlukan promosi - aku faham sangat. Mungkin aku masih belum cukup berani untuk berniaga sendiri, bergelumang dengan titik-bengik untung-rugi perniagaan tapi aku cukup faham dengan fungsi promosi. Untuk melariskan jualan, perkhidmatan dan barangan. Promosi memang perlu. Aku tak nafikan.

Cuma aku ralat bila orang tak ada rasa hormat dengan ruang peribadi orang lain. Contohnya di Facebook, orang meniaga akan tag nama kita pada gambar-gambar barangan/perkhidmatan yang mereka berikan.

Tidak menjadi satu kesalahan, ya, itu memang betul. Yang menjadikan ianya satu gangguan yang boleh menimbulkan kemarahan orang adalah bila si peniaga sentiasa, aku ulangi, SENTIASA, MEMBANJIRI wall kawan-kawannya dengan gambar-gambar barangan/perkhidmatan yang ditawarkannya.

Terdesak sangatkah sampai perlu menjadikan wall Facebook kawan-kawan sebagai medan melariskan jualan? Adakah wall Facebook kawan-kawan kita, sama seperti tapak pasar tani yang boleh kita lambakkan dengan barang jualan kita?

Sukakah kita kalau kawan-kawan kita menggunakan wall Facebook kita dengan cara macam tu?

Itu baru Facebook, belum lagi di tempat-tempat lain macam, shoutbox blog atau pada ruangan komen, waima di Yahoo! pun ada juga yang ada 'penyakit' iklan ni.

Teringat aku kisah seorang kawan yang sangat-sangat kasihan - dia menjaga ibunya selepas kematian bapanya dengan bantuan suaminya. Dek kerana kesihatan ibunya yang tak berapa menentu, ada masanya dia akan berjauhan daripada Facebook dan bila saja dia berpeluang, pasti wall miliknya dibanjiri dengan post/gambar-gambar barangan jualan seorang kawannya yang bersifat lebih teruk daripada Belanda dapat tanah. Walaupun dah diberikan amaran oleh tuan punya wall tapi dasar manusia tak tahu malu barangkali, dia masih mengganggu dengan cara itu dan akhirnya, dia telah di R&B [remove & block - singkatan yang aku cipta :)] oleh tuan punya wall itu.

Aku sokong sangat dengan tindakan tuan punya wall, sebab tak ada sesiapa pun patut diperlakukan begitu. Meniaga, walau macam mana bagus sekalipun dapatannya dan mulia di sisi Islam, tapi bila dilakukan dengan cara yang menimbulkan gangguan pada orang lain, masih adakah berkatnya?

Aku tak mahu cakap pasal halal haram pula, aku tak arif tentang tu. Cukuplah pasal berkat saja yang aku sentuh.

Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. Ya, aku takkan tipu bila aku kata aku memang menyampah dengan user yang suka buat gini... kita panggil apa ya? Spammer? Abusive user? Betulkan aku kalau aku salah :) Terima kasih sekali lagi...



No comments: