.: COUNTLESS THANKS TO :.

Thursday, October 27, 2011

AKU VS KECOMELAN

Tu ari aku ada buat entry pasal aku dan kecomelan. Kali ni aku perlu 'menentang' beberapa isu kecomelan. Maaf kalau ada yang benci tapi ini sekadar pandangan aku, bukannya fatwa atau hukum-hakam dakwa-dakwi.

1. Kasut budak kecik yang ada bunyi-bunyi

Woooo ni aku tension. Serius. Pernah adik aku yang mana satu tah, kitorang yang besar-besar nih kerjakan kasutnya yang ada bunyi-bunyian nih. Biar melalak budak tu sebab kasut dia 'rosak' tapi yang penting kitorang adik-beradik yang besar-besar nih, tak pening kepala dengan bunyi kasutnya tu.

Azam aku suami isteri - takkan beli kasut yang ada benda alah ni. Kitorang pun bukan jenis tahan bising, cepat migrain dan cepat naik angin!



Serius kasut ni memang comel. Sumpah. Tapi kalau dia ada bunyi pelik-pelik bila budak pijak je kasut tu - aku usaha kuarkan nanti benda alah tu. Kalau tak boleh - kasi orang je!

2. Barbie/Princesses themes and Upin&Ipin, overdose.

Aku bukan menentang tapi aku memang tak suka stereotype macam, budak perempuan mesti dikaitkan dengan everything pink and Barbie and princesses [especially Disney's] dan budak lelaki pulak mesti bertemakan [diulangi:BERTEMAKAN] Upin&Ipin atau Ben 10 [tah kenapa aku suka panggil dia sebagai BENIO instead].

Tak boleh ke kalau kita buat benda yang, bersifat umum je? Salah ke kalau kita ajar pada budak, lelaki dan perempuan memang berbeza fizikal & mental tapi di sisi Allah, kita ni sama je sebab yang dipandang, dinilai oleh-Nya adalah semata-mata AMALAN kita?

Tak boleh ke kalau kita ajar mereka berpakaian sekadar seadanya, cukup menampakkan jantina kita lelaki atau perempuan [takkan nak biar anak lelaki pakai tudung pulak, jadahnya] dan menampakkan identiti kita sebagai orang bangsa apa atau agama kita?

Perlu ke kita ajar kanak-kanak ni yang dorang mesti comply to the norms, instead of creating their own ways?

Aku rasa, susahlah dorang nak jadi kreatif gitu, sebab dah disuruh ikut je bentuk acuan yang masyarakat/orang keliling mahukan. Perempuan mesti jadi compliant, lembut, tak boleh lasak bla3 tanpa diberitahu kenapa mereka perlu jadi demikian [biasanya kan mereka akan diajar 'just do what i say, don't ask why because i said so'] - hei, that is just so bloody wrong.

Lagipun ada kajian yang dah dibuat yang menunjukkan budak-budak yang dibesarkan dengan cerita-cerita dongeng biasanya cenderung jadi orang dewasa yang tak berapa matang atau silap-silap haribulan, sangat bodoh dan cenderung jadi mangsa keganasan domestik dalam perhubungan mereka dengan pasangan nanti. Sebab dorang cenderung untuk menjadi sangat-sangat percaya pada wujudnya dunia yang sempurna, mereka percaya yang mereka boleh menjadi sesempurna Barbie jadi mereka akan bermati-matian nak diet hingga rupa jadi macam jerangkung dalam almari, dorang percaya yang dorang akan ditemukan dengan lelaki setampan Ken [boifren si Barbie] atau dorang percaya yang lelaki sesempurna Prince Charming akan muncul dalam hidup dorang [kes andalusia kah contohnya? boleh jadi kot] dan pelbagai lagi negativity...

Hidup ni dah cukup banyak masalahnya. Jadi tak payah nak 'memupuk dalam otak anak-anak kita' dengan masalah-masalah yang aku ceritakan di atas ni pulak.

Azam kitorang suami isteri - no specific brands nor themes. Anak bukannya laptop atau customizable android phones, jauh sekalilah model barangan satu-satu jenama.


Seriously dear, nobody has that kinda body nor looks, which happens to look so, weirdly perfect, anyway. And the world she's living in and that bloody weird purple dragon beside her, just don't exist. 'Cause they simply don't exist at all. And it's just extremely dangerous to be living in the real world, believing that THAT kinda world, do exist.


Okey sebelum aku lebih teruk merapu, cukuplah 2 contoh ni je.

Terima kasih baca entry aku kali ni. Mungkin pada orang 2 perkara ini comel gila tapi pada aku ia membuatkan aku jadi gila sebab di penghujung hari, aku jugak yang pening nanti sebab anak aku bising dengan kasutnya tu padahal aku nak rehat/tak cukup tidur barangkali dan aku juga yang pening nanti sebab anak aku akan jadi "kalau tak princess/Barbie, selagi tu tanak kuar dari shopping mall" - kopak ler makcik!

Lagipun aku gelimat dengan Barbie/princesses - perasaan yang wujud dalam diri aku sejak aku sekolah rendah lagi *loya*


Tuesday, October 25, 2011

BUKAN MEMBENCI TAPI TOLONGLAH MENGERTI

Aku faham bila orang mahu berniaga sendiri. Bukan semua orang betah melakukan kerja-kerja pejabat, terkurung di meja kecil selama 8 jam terperangkap dalam hawa dingin pejabat, terperuk kadang-kadang dengan segala macam kerenah birokrasi dan ragam pelanggan yang datang dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang.

Aku faham bila orang mahu bekerja sendiri. Bukan semua orang sesuai bekerja di bawah arahan dan seliaan ketua, terutama sekali bila ketua yang berada di atas mereka adalah orang yang tidak begitu mudah untuk dibawa berbincang atau memang ada antara kita yang merasakan bekerja di bawah arahan orang adalah, sangat-sangat susah.

Tapi serius aku tak faham dan aku jadi benci bila orang yang mahu bekerja sendiri dengan cara berniaga menjadi sangat-sangat tak hormat dengan orang lain hingga tanpa ada rasa bersalah, menceroboh ruang peribadi orang lain hanya untuk melariskan jualan mereka.

Betul, perniagaan memerlukan promosi - aku faham sangat. Mungkin aku masih belum cukup berani untuk berniaga sendiri, bergelumang dengan titik-bengik untung-rugi perniagaan tapi aku cukup faham dengan fungsi promosi. Untuk melariskan jualan, perkhidmatan dan barangan. Promosi memang perlu. Aku tak nafikan.

Cuma aku ralat bila orang tak ada rasa hormat dengan ruang peribadi orang lain. Contohnya di Facebook, orang meniaga akan tag nama kita pada gambar-gambar barangan/perkhidmatan yang mereka berikan.

Tidak menjadi satu kesalahan, ya, itu memang betul. Yang menjadikan ianya satu gangguan yang boleh menimbulkan kemarahan orang adalah bila si peniaga sentiasa, aku ulangi, SENTIASA, MEMBANJIRI wall kawan-kawannya dengan gambar-gambar barangan/perkhidmatan yang ditawarkannya.

Terdesak sangatkah sampai perlu menjadikan wall Facebook kawan-kawan sebagai medan melariskan jualan? Adakah wall Facebook kawan-kawan kita, sama seperti tapak pasar tani yang boleh kita lambakkan dengan barang jualan kita?

Sukakah kita kalau kawan-kawan kita menggunakan wall Facebook kita dengan cara macam tu?

Itu baru Facebook, belum lagi di tempat-tempat lain macam, shoutbox blog atau pada ruangan komen, waima di Yahoo! pun ada juga yang ada 'penyakit' iklan ni.

Teringat aku kisah seorang kawan yang sangat-sangat kasihan - dia menjaga ibunya selepas kematian bapanya dengan bantuan suaminya. Dek kerana kesihatan ibunya yang tak berapa menentu, ada masanya dia akan berjauhan daripada Facebook dan bila saja dia berpeluang, pasti wall miliknya dibanjiri dengan post/gambar-gambar barangan jualan seorang kawannya yang bersifat lebih teruk daripada Belanda dapat tanah. Walaupun dah diberikan amaran oleh tuan punya wall tapi dasar manusia tak tahu malu barangkali, dia masih mengganggu dengan cara itu dan akhirnya, dia telah di R&B [remove & block - singkatan yang aku cipta :)] oleh tuan punya wall itu.

Aku sokong sangat dengan tindakan tuan punya wall, sebab tak ada sesiapa pun patut diperlakukan begitu. Meniaga, walau macam mana bagus sekalipun dapatannya dan mulia di sisi Islam, tapi bila dilakukan dengan cara yang menimbulkan gangguan pada orang lain, masih adakah berkatnya?

Aku tak mahu cakap pasal halal haram pula, aku tak arif tentang tu. Cukuplah pasal berkat saja yang aku sentuh.

Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. Ya, aku takkan tipu bila aku kata aku memang menyampah dengan user yang suka buat gini... kita panggil apa ya? Spammer? Abusive user? Betulkan aku kalau aku salah :) Terima kasih sekali lagi...



Thursday, October 20, 2011

AKU & KECOMELAN

Malam Jumaat yang indah. Hujan lebat di luar rumah turun mencurah-curah.

Aku tersenyum seorang. Banyak kisah dan gambar yang dikongsikan orang di Facebook, yang menguntumkan senyum di bibir serta di hati.

Antara gambar yang aku gemar adalah gambar-gambar comel macam gambar-gambar kucing, bayi comel [bayi pernah ke ada yang tak comel?!] dan yang seangkatan dengannya.



Budak kecik yang sedap tido nih pangkat anak saudara akulah. Maknya adik sepupu aku. Sebab mak pada adik sepupu aku ni adalah adik pada Mak, maka adik sepupu aku perlu panggil Mak dengan gelaran Wak [orang Jawa memang begitu ya] dan aku pula perlu panggil adik Mak dengan gelaran Acik/Bibik. Secara automatik, budak kecik ni akan panggil aku Wak jugalah, sebab maknya pangkat adik kat aku kan... [dah pening blom? hehehe... memang saja aku nak buat orang pening]


Melihat pada gambar-gambar cute dan comel memang, membahagiakan hati kan?



Kedua-dua gambar ni pun pada aku ada nilai comelnya yang sendiri.
Atas : Adiba & sepupu [makcik pada baby dalam gambar di atas]
Bawah : Mak, yang selamba je aku panggil Cik Jah kalau aku menyakat dia cam tak salah hahahaha! [pastu kena lari jauh-jauh secepat yang boleh sebab mesti dia akan cubit/pukul aku sebab geram!!!]


Aku suka rakam moment orang masa mereka tak memandang kamera. Entah kenapa, aku rasa jalan ceritanya lebih jujur, menarik dan personaliti sebenar mereka lebih menyerlah berbanding dengan yang memandang tepat kepada lensa.

Lagipun thrill tangkap gambar candid ni, lagi hebat, lagi mencabar. Maknanya ganjarannya pun [hasil pada gambar pun] makin bermakna dan makin best lah.

Tapi tu aku. Aku tak tahu orang lain menilai dan memandang. Lain orang lain cara ya tak?

Ok... Itu orang yang jadi subjek gambar. Kalau ciptaan Allah yang lain pulak? Meh tengok :)



Kat depan rumah Nenek :) Raya tahun 2010.



Masa ni rumah di KL masih ada kucing, Adiba punya. Dah kucing tu beranak, nilah anak-anaknya... beberapa hari lepas dilahirkan :) berbunga je rasa hati tengok gambar ni.



Ni kat belakang rumah abang ipar aku kat Putrajaya. Aku rasa comel pulak 3 ekor kucing ni duduk diam berderet-deret gini hahaha...



Ini gambar yang pada aku, agak, 'mahal' sbb aku jarang dapat tangkap sesuatu yang sebegini [makcik bukannya profesional sepenuh masa ya, semi-pro pun tidak, sepenuh masa jauh la skali!]

Terima kasih kerana sudi membaca entri aku kali ni tentang kecomelan. Semoga hidup kita sentiasa indah & sentiasa pula kita sedar betapa banyak kecomelan yang boleh menguntumkan senyum di bibir dan membungakan hati yang rawan.

Semoga terhibur dengan entri aku yang agak ringan kali ni dan sehingga ketemu lagi di lain entri, insyaAllah.





Tuesday, October 18, 2011

BERHENTILAH JADI BODOH WAHAI PEREMPUAN!

Layakkah kita digelar manusia, pentadbir & pentakmir bumi Allah, bila kita lebih rendah tarafnya daripada haiwan kerana sikap hina kita?

Haiwan pun tahu sayangkan anaknya. Ini pulak kita manusia...

Sehina-hina babi di mata manusia hingga sering dijadikan gelaran buruk dalam memaki-caci-nista manusia lain kerana buruknya sikap babi sehingga sesuai dijadikan perbandingan dengan manusia yang bersikap buruk pun, tahu menyusukan anak-anaknya sehingga anak-anak babi ni mampu menjaga diri mereka sendiri dan meneruskan kesinambungan keturunan mereka.

Buruk-buruk babi pun, Allah wujudkan babi bukannya tanpa sebab [dan paling utama bukanlah untuk manusia jadikannya contoh yang tak baik atau nak memaki-caci-nista orang lain], tapi untuk berzikir kepada Allah [bukan dalam bentuk yang sama macam kita manusia] serta dijadikan contoh tentang betapa buruknya kesan bila daging babi dimakan dijadikan darah daging kita. We are what we eat, jadi bila kita makan babi tentu-tentulah kita berperangai macam babi juga kan?

Kucing yang masih kanak-kanak [belum cukup dewasa dari segi pemikiran tapi sudah matang dari segi pembiakan] pun kalau tak tahu menjaga anak, pandai dia meletakkan anak-anaknya di tempat orang lalu-lalang. Mengharapkan ada hamba Allah yang bergelar manusia akan ada rasa simpati dan sudi mengutip anak-anaknya supaya dapat dibela dengan baik. Kalau anak-anaknya mati pun, kucing tu tentu-tentu tiada dosa pada Allah, sebab kucing cuma haiwan tidak berakal, tak seperti manusia...

Aku selalu mengelak membaca berita-berita orang membuang anak macam buang sampah di sana-sini. Bukan aku tak prihatin tapi aku tahu, aku cenderung untuk jadi pengadil dan penghukum tak bertauliah, yang berbunyi banyak di tepi tapi tak ada sumbangan apa pun untuk memperbaiki keadaan di tengah [huru-hara itu sendiri]. Aku cuma manusia biasa.

Kalau dulu bayi tak diingini kerana wujudnya hasil hubungan haram antara si penyumbang benih dan si penerima benih biasanya akan dibuang merata - ditinggal depan masjid/surau/dalam semak/depan rumah orang [kalau nasib bayi tu baik] atau dibuang dalam tong sampah hingga dihurung semut dan menangis sekuat-kuat hati kerana kesejukan serta digigit semut [kalau nasib bayi itu tak baik, harus dia digonggong anjing kelaparan barangkali - ya Allah!], sekarang ada trend baru pula.

Kalau bayi tu tak dipam ke dalam tandas, dibakar dalam tong sampah, dihumban ke sungai atau dicampak daripada tingkat atas rumah pangsa ke bawah, dia dilemaskan pula dalam pam tandas.

Paling baru adalah bayi yang sempurna sifat dikelar-kelar seperti ikan yang siap disiang, sehingga bayi itu sudahnya mati dalam keadaan yang mengerikan - perutnya terburai dan badannya penuh kesan kelaran pisau.

Aku terfikir apa sebabnya perempuan yang melakukan semua jenayah buang bayi ni, sampai hati untuk membuang anak mereka sendiri, yang dah susah-payah mereka kandung selama 9 bulan 10 hari dengan segala macam kepayahan dan kesusahan. Bila nak melahirkan pula, bergelut dengan kesakitan antara hidup dan mati tapi bila dah dilahirkan, anak yang sempurna sifatnya, cukup comel dan langsung tak berdosa, 'dihukum' pula dengan cara dibuang merata atau dibunuh sebegitu saja, seolah-olah nyawanya tak punya nilai langsung.

Sebelum minda aku terbuka dulu, memang aku cenderung nak menghukum serta mencela pelaku jenayah tak berperikemanusiaan ni. Sebab susah untuk aku terima walau sekelumit pun, bahawa orang perempuan yang biasanya dikaitkan dengan perasaan kasih, sayang dan simpati, boleh tiba ke suatu tahap dia jadi sampai hati untuk menzalimi zuriatnya sendiri.

Aku selalu tanya Mak, tak ke ada rasa apa-apa di hati bila dah susah-payah melahirkan anak? Mak jawab, mestilah ada. Masa mengandungkan anak tu lagi kita sepatutnya dah wujud rasa sayang pada bayi tu sebab kita bawa dia, kita kandungkan dia, apa kita rasa dia rasa, apa dia buat dalam perut kita, kita boleh rasa.

Habis, kenapa jadi macam ni sekarang Mak?... *tanya aku dalam hati*

Aku rasa susah menerima hakikat yang kaum aku sendiri bukan saja sanggup jadi bodoh kerana lelaki bertaraf bangsat yang bertopengkan wajah lelaki baik & sopan-santun kononnya, malahan juga, sanggup jadi pembunuh kejam yang menjadikan bayi kecil yang lemah dan tak berdosa apa-apa pada dia pun, sebagai mangsanya.

Kenapa tak bunuh saja lelaki yang tak mahu bertanggungjawab tu? Kenapa tak dipam ke tandas/dibakar/dihumban dari tingkat atas flat saja lelaki yang pandai pancut merata tapi tak mahu mengaku?

Apa yang korang semua takutkan? Takut dia beralih arah kepada perempuan lain sedangkan korang ditinggalkan dengan zuriat yang dia tak mahu mengaku pun itu dia yang punya?

Sedarlah perempuan, kita memang tak lama mana nilai di mata lelaki. Dapat apa yang dihajatkan iaitu tubuh badan kita, dia berambuslah angkat kaki. Gila ke nak tunggu lama-lama, nak-nak pulak kalau termengandung, takkan dia nak tunggu lagi kita hanya untuk mengaku anak dalam perut tu dia yang punya?

Silap haribulan dia akan cakap, "Entah dengan jantan mana kau menyundal kau cakap anak tu aku punya pulak..."

Wahai orang perempuan, aku bercakap ni mungkin kasar bunyinya, tapi aku rasa kata-kata yang penuh berlapik atau penuh sopan-santun, memang takkan menyampaikan maksud aku dalam artikel ni.

Bacalah laporan-laporan akhbar tentang mudahnya lelaki memperdaya perempuan hingga tubuh badan jadi korban. Hingga perempuan menjadi pembunuh yang dihukum masyarakat sebagai bodoh, tak berotak, betina sundal yang gatal tak tau malu dah berzina membunuh pulak, sedangkan salahnya ada pada diri sendiri yang mudah sangat percaya lelaki.

Betul, lelaki bukan semuanya jahat, tapi nak jumpa yang benar-benar baik dan menginginkan kita sebagai suri hidupnya yang sah kerana Allah, sudah terlalu payah nak ditemui.

Terima kasih kerana membaca luahan hati aku dan maaf kalau aku terlalu kasar - aku percaya pada prinsip "memang betul kasih-sayang dan galakan akan menjadikan orang bersemangat tapi satu sepakan tanpa belas kasihan di muka akan lebih menyampaikan maksud dan niat di hati dengan lebih berkesan".

Hingga bertemu lagi di lain entri.



Monday, October 17, 2011

HARGA SEBUAH KEJUJURAN

Sabda baginda Rasulullah SAW, berkata benarlah walaupun pahit. Kata orang putih pulak, honesty is the best policy.

Aku bukanlah orang yang paling baik untuk mengatakan tentang kejujuran. Aku cuma manusia biasa yang bukanlah paling baik akhlak jauh sekalilah paling sempurna serba-serbi. Tapi aku pegang betul konsep kejujuran ni, sedaya-upaya aku. Jadi boleh-boleh aku akan mengelak daripada berlaku tidak jujur.

Tapi setiap perlakuan, perbuatan, ada harga yang terpaksa kita bayar. Nothing is free and never has been free, right? Sama juga dengan kejujuran.

Berapa ramai yang menghargai kejujuran kita? Berapa ramai yang mampu terus berkawan dengan kita bila kita jujur kepadanya? Berapa ramai yang masih mahu terus berkawan dengan kita sekalipun sedikit sebanyak akan terjejas dengan kejujuran kita terhadapnya?

Bilangan orang-orang yang benar-benar menghargai kejujuran kita dan mampu terus berkawan dengan kita sekalipun mungkin terjejas dengan kejujuran kita terhadapnya, boleh dikira sangat dengan jari.

Adakah ini bermakna, ramai yang gemarkan tipu-daya yang menggoda? Penipuan yang mengasyikkan?

Atau ini cuma membuktikan bahawa kita sanggup digula-gula walaupun kita tahu sangat, jadam yang pahit itu jugalah ubatnya satu hari nanti bila kita sudah dipotong kaki kerana kencing manis akibat gula berlebihan dalam darah?

Ya, kebenaran memang pahit untuk diterima, apatah lagi untuk diperkatakan. Harga yang terpaksa aku bayar selama bertahun menjadi orang jujur ini, bukan kecil jumlahnya.

Aku kehilangan ramai kawan yang mengaku mereka kawan aku dunia akhirat. Bukanlah aku rasa luak sangat ke kehilangan mereka ni sebab aku lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Tak ada maknanya ramai kawan tapi semuanya hanya mahu menjahanamkan kita atau sekadar kerana menjadikan kita sandarannya untuk sebarang kegunaan di masa depan bila-bila mereka memerlukan.

Bilangan jumlah kawan dalam Friends List aku di Facebook pun selalu turun naik, tambah-tambah bila aku mengutarakan hal-hal yang tak masuk akal pada aku tapi sangat-sangat trendy & in pada ramai orang lain. Hal-hal yang selalu buat aku terasa pelik sendiri sedangkan pelakunya mungkin rasa aku yang pelik sebab tak sealiran dengan mereka.

Contohnya bila aku bercakap tentang kepelikan dan kejelekan penggunaan sanggul palsu dalam tudung [bila orang kongsi hadis Rasulullah SAW pasal orang yang sengaja pakai sanggul palsu ni dan diumpamakan seperti bonggol unta, aku sengaja re-phrase perkataan bonggol tu dengan BONTOT sebab aku rasa tak ramai yang rasa terjejas sangat bila baca perkataan bonggol tu... Sebab tu penggunaan sanggul palsu yang tak munasabah dan terang-terang haram sebab menarik perhatian orang memandang sedangkan tujuan tutup aurat adalah supaya tidak dipandang oleh kaum berlawanan, menjadikan aku rasa sungguh pelik dan menentangnya juga].

Tak kisahlah - aku rasa kita semua berhak menyuarakan pendapat kita. Suka atau tidak, kita tak boleh memaksa orang untuk sentiasa bersetuju dengan apa yang kita rasa, sekalipun apa yang kita cakap itulah kebenarannya kan?

Jadi betullah, kebenaran itu memang pahit. Diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Perlukah kita kemam je, macam Jep Sepah suruh [cubaan untuk melawak, siapa minat Sepah mesti tau lawak ni]

Terima kasih kerana baca tentang harga yang aku terpaksa bayar dan kos yang terpaksa aku tanggung selama ini...

Sehingga bertemu lagi di lain entri.





Friday, October 14, 2011

WHAT DO YOU DO THAT FOR?

I often wondered why do I do the things I ended up doing.

Take blogging for instance. I did it to tell stories, my way, through my perspectives and mostly, in ways that others would find, weird or just, not interesting.

But I take pride in how I blog - I don't do it for fame, nor for name, not for monetary reasons and certainly not for all the wrong reasons.

I do it because, I love pouring my heart out about things I see, I feel and things that mostly are, well, beyond my comprehension :)

Hence the reasons why my blog entries are mostly about pain in the butt things. And maybe that's the main reason why my blog is not listed as one of the famous or the best.

I don't care - I do it 'cause I love it.

There should be just ONE real reason why we do what we do. Another example is having a Facebook account.

We heard and read a lot about how people are in troubles 'cause of Facebook, be it divorce, or infidelity and fights over petty stuff. Some went even as far as going to the police station to file reports about, well, almost every misunderstanding over words 'spoken' through the wall.

Why do you think these happen? Are we getting even less smarter when it comes to using technology? Or simply because we are just getting even more ignorant when it comes to our own privacy?

I think, the only reason is we forget to set the main objective, our personal main objective prior to setting up these social webs accounts.

Before I was hooked to Facebook, I wondered what was the big deal of having one. Prior to having one, I asked myself some questions like:-

1. Why do you want to have it?
2. What do you want to do with it?
3. What are the importance to you and your life?
4. What are the consequences of having one?
5. Are you ready to be held responsible for what you say, what you choose to publish and what you choose for the rest of the world to see?

And the list went on. As usual. The usual case of being me :P

When I finally got down on ONE main reason, I hold on to it like there's no tomorrow. It's the only thing that keeps me grounded up until now.

It helps me to have some sorta, controlled privacy for my own self. And thank God I did that.

What about you?

Thanks for the time. Until next entry, have a great weekend and be safe!

Thursday, October 13, 2011

SAKIT MATA, SAKIT HATI?

Kali ni entri aku masih berkisar rupa luaran. Senang cerita, rupa luaran ni banyak yang boleh menipu dan membuatkan kita tertipu.

Ada orang memegang prinsip, biar lawa supaya sedap mata memandang, perkara lain tolak tepi. Tu prinsip orang.

Tapi pada aku pula, aku suka biarlah rupa tak seberapa tapi perangai tak menyakitkan hati.

Buat apa diharap semata-mata pada rupa? Adakah rupa kacak, lawa, cantik, tampan, Pan-Asia, ala Hindustan bagai tu, menjamin kebahagiaan rumahtangga dan ketenangan jiwa raga?

Adakah rupa luaran yang diberikan lebih sikit daripada orang lain yang biasa saja rupanya tu boleh mengenyangkan perut yang lapar dan perlu diisi hari-hari?

Adakah paras rupa menawan qalbu [kalau 'kalbu' dalam bahasa Arab maksudnya anjing ya kawan-kawan] dan menusuk sukma [bukan Sukan Malaysia lah...] itu, akan memberikan kita sebuah rumah untuk berteduh, beribadat dan menjalani kehidupan yang sempurna?

Adakah kekacakan yang mengangaukan dan kejelitaan yang mengasyikkan itu mampu memberikan kita baju untuk dipakai pada setiap hari siap ada stok untuk dibuat ganti sehingga hari kita mati nanti?

Kadangkala aku rasa pelik dengan sikap manusia yang terlalu mengutamakan paras rupa luaran sehingga sanggup menolak tepi apa yang sepatutnya mereka pentingkan, iaitu sikap, perangai dan pembawaan diri.

Memanglah tak ada orang yang sempurna, 100% baik lagi mulia serta berakhlak terpuji. Hanya Nabi Muhammad SAW sahaja diberikan anugerah sebegitu kerana baginda adalah insan terpilih. Kita ni siapa?

Cuma manusia biasa saja.

Jadi seimbangkanlah, antara rupa yang cantik dengan sikap yang cantik juga. Pesan Mak sendiri satu ketika dulu kepada aku yang sudahlah tak cantik paras rupa, perangai pun langsung tak cantik mana...

"Rupa tak cantik nak buat macam mana, dah Allah beri macam itu, kita tak boleh nak ubah. Tapi perangai kalau tak cantik, muka cantik macam mana pun, terus nampak buruk serba-serbi. Jangan jadi manusia yang sudahlah bodoh, sombong pulak tu. Bawak-bawaklah ingat sikit, awak tu cuma manusia biasa, paling besar kuasanya, paling pandai, paling bagus Tuhan Yang Maha Esa juga"

Terima kasih Mak, sebab sanggup marah aku sampailah ke zaman dah mencecah 19 tahun sejak 11 tahun yang sudah ni... Kalau tak kerana Mak selalu bebelkan aku, tak adalah aku jadi orang yang orang kenal sekarang ni.

Teringat ayat seseorang bila bercerita kisah rupa luaran ni, ayatnya pun best juga.

"Biar sakit mata memandang, jangan sakit hati mengenang"

Terima kasih sudi membaca rapikan aku. Sehingga bertemu lagi di lain entri, insyaAllah.




LAWA/CANTIK SAHAJA TAK CUKUP

Lawa, cantik, kacak, handsome dan yang seangkatan dengannya, pada aku, adalah cukup-cukup subjektif dan meluas.

Seorang yang berwajah cantik akan jadi tak cantik sangat-sangat bila dia tak menjaga pertuturan dan sikap.

Seorang yang berwajah kacak dan handsome akan secara automatik jadi sangat tak kacak bila bermulut lepas atau bermulut bau puaka.

Kisah yang aku nak kongsi kali ni adalah kisah seorang perempuan yang pada mata aku, sangat beruntung sebab dilahirkan dengan wajah yang cantik dan bentuk badan yang tinggi serta langsing.

Sesuatu yang aku tak ada - aku 360 darjah terbalik. Tapi tak kisahlah, sebab aku percaya, kecantikan boleh dipupuk pada orang yang tak cantik, dengan syarat diri sendiri mahu percaya pada diri [dah macam AF la pulaak...] dan yakin yang dia boleh jadi cantik walaupun tak dilahirkan dengan kecantikan semulajadi.

Okey, berbalik pada kisah perempuan cantik tadi - berpakaian sederhana ke pejabat dan berjalan seorang diri untuk membeli sarapan di tempat sama aku nak membeli. Beza masa tak sampai seminit antara ketibaan kami berdua membuatkan aku cukup takjub bila dia terus masuk di ruang antara aku dengan seorang pelanggan lain dalam barisan gerai nasi kerabu bawah pokok.

Aku terbodoh sekejap. Oh, sekejap, aku memang tak boleh terima kalau orang potong barisan ni. Satu kepantangan bagi aku. Melainkan kalau si pelaku adalah perempuan yang sedang sarat mengandung tak boleh nak berdiri lama dalam barisan atau warga emas yang tak mampu beratur lama dalam barisan then yes, by all means - silalah ambil giliran saya, saya tak kisah.

Tapi perempuan ini dengan tanpa ada perasaan bersalah sikit pun, terus masuk depan aku, tanpa peduli nak tanya pun, "ini barisan beli nasi kerabukah?"

Cantik mana pun kau, perempuan, kau tetap hodoh bila kau bersikap macam tu.

Jangan ingat dengan kecantikan kau boleh lepaskan diri daripada dikuasai kebodohan.

Cantik je, tak cukup, kalau gagal guna otak.

Terima kasih kerana buat hari aku bermula dengan perasaan negatif. Aku hargainya sangat-sangat. Aku doakan perangai buruk kau tak berterusan supaya orang tak berterusan mendoakan kau yang buruk-buruk.


NASI KERABU & NESCAFE O KOSONG

Aku suka nasi kerabu. Cukup-cukup suka, terutamanya kalau buatannya bagus, lauknya sedap dan paling penting, kalau taukenya tak kedekut.

Selalunya aku beli di kawasan penjaja di sebelah tempat letak kereta belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja [KWSP] Jalan Raja Laut atau orang pejabat aku selalu panggil kawasan situ sebagai "bawah pokok" [sebab gerai-gerai mereka terletak di bawah rimbunan pokok].

Kalau nak kata nasi kerabu situ yang paling sedap, belum boleh lagi dianggap paling sedap, sebab ada rasa yang kurang pada nasi kerabu tu. Tak pasti nak aku ceritakan bahagian mana yang kurang tapi memang ada kurang sikit.

Cuma sebab senang dapat [dekat dengan pejabat] dan lauk daging gorengnya sedap, aku selalu berkunjung ke situ setiap pagi untuk dibungkus dan dimakan di pejabat, diiringi secangkir [itu maksudnya satu mug ya, bagi yang tak pernah tengok perkataan cangkir tu :)] Nescafe O kosong [sengaja aku tak letak gula sebab nasi pun akan bertukar jadi gula dalam darah kan? Oh ya, yang pahit itu ubat kan?].

Nescafe O kosong yang dibancuh dengan air panas menggelegak. Bila tiba habis makan nasi Nescafe tu dah tak panas sangat dan sesuai untuk diminum dalam 2-3 hirup habis terus secangkir [memang best minum air panas-panas ni! Peluh pun rasa sejuk dan nyaman je badan :)]

Okey berbalik kepada hal nasi kerabu di gerai bawah pokok ni tadi, makcik yang menjualnya ni adalah seorang wanita dalam separuh abad, pelat Kelantannya masih pekat, cukup lincah dalam pergerakannya dan cukup tegas dalam meminta pelanggan supaya beratur menunggu giliran membeli nasi kerabu di gerainya. Makcik ni juga seorang yang sangat tegas dengan pelanggan yang boleh dikategorikan sebagai 'banyak cerewet', contohnya nak bungkus kuah nasi dagang dalam plastik lainlah padahal orang yang menunggu dalam barisan ni masih ramai daripada tadi beratur jadi makcik ni memang akan menyatakan dengan tegas "kalau nak juga tunggu orang lain selesai baru saya bungkus asing kuah awak, kalau tak nak tunggu saya campur je kuah ni sekali dengan nasi dagang".

Ketegasan yang aku kagumi. Tak ramai peniaga berani bersuara bila ada pelanggan yang banyak cerewet ni. Mengajar erti baru kepada ungkapan customer is always right - memang pelanggan sentiasa betul tapi macam mana pun masih ada batas yang pelanggan perlu patuhi.


Terima kasih kerana membaca kisah makanan kesukaan aku. Oh ya, bagi yang masih bimbang dengan aku mengambil Nescafe, jangan bimbang lagi - aku cuma ambil 1 cangkir sahaja dalam 1 hari - tak lebih daripada tu dan tiada sumber kafein lain yang aku ambil selepas minum pagi, cukup dengan 2 liter air masak untuk membilas kafein daripada sistem aku.





Sunday, October 9, 2011

TOO SHAME

Aku cuba untuk tidak merasa sedih. Bukan kerana aku tak punya perasaan. Tapi kerana aku tak mahu tangisan itu memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan aku sendiri dan kerana aku percaya, ia hanya akan menambah perasaan tidak baik kepada mereka di sana.

Tapi air mata ini tumpah juga walau puas aku tahan. Bukan kerana aku perempuan, maka aku perlu menangis. Tapi kerana ia tak mampu aku bendung, aku tak punya kekuatan dan ketabahan yang Mak miliki. Ya, too shame, kata orang putih.

Aku tahu, banyak lagi yang perlu aku tumpukan. Hidup mesti terus ke depan. Dan tak adil bagi masa depan aku bila aku susah melepaskan masa lalu.

Tapi apakan daya, aku cuma manusia biasa. Cukup banyak kekurangan dan cukup sedikit kemampuan dalam menangani masa kini yang perlu dikukuhkan sebagai bekal masa depan. Aku cuba mulakan dengan usaha memaafkan diri sendiri atas kegagalan menjadi yang terbaik dalam mengubah masa lalu, tapi,...

Mana mungkin masa lalu dapat ku ubah. Menyesalinya pun tiada guna. Cuma ia perlu dalam menginsafi diri supaya tak mengulangi kebodohan dan kejahilan masa dulu bila aku hidup kini dan akan datang hendaknya.

Mudah kalau nak kata, if only I knew what I know now, tapi itu hanya menyalahi konsep Rukun Iman yang ke-6. Menjadikan aku orang yang tak lengkap imannya kerana gagal memahami konsep rukun ke-6 itu dan sebaliknya menganggap aku mampu mengubah kenyataan dengan perkataan if only [kalaulah...]

Apa yang dapat aku katakan cuma, ya, aku memang bersalah kerana tak berusaha menjadi yang terbaik untuk mereka yang berhak dan kini aku menerima hukumannya.

Penyesalan adalah hukuman yang cukup berat untuk ditanggung. Walau sekuat mana pun aku berusaha tapi nampaknya, ia cukup gemar berada di pundakku dan tak mahu meninggalkan aku.

Gembira barangkali dengan kejayaannya dalam menjadikan aku orang yang tersungkur ditimpa perasaan sendiri. Perasaan kosong yang tak bawa apa-apa makna kecuali hanya gah di mata orang atau hebat di atas kertas tapi hakikatnya, ia kosong dalam jiwanya.

Maafkan aku teman - kalau aku membosankan atau memeningkan sesiapa. Tapi kehilangan ini ternyata sukar untuk aku tanggung, dan untuk melepaskannya pula, membuatkan aku takut kalau-kalau aku jadi lupa dan segala kenangan terhapus begitu saja.

Jadi biarlah, buat masa ini, aku tanggung segala hukuman ini. Biarkan aku. Sekalipun ia mungkin memakan diri tapi cukuplah aku seorang yang menanggungnya.

Jika sudi menghulurkan kebaikan, dapatlah kiranya surah al-Fatihah dan doa disedekahkan buat kedua-dua arwah adik aku, Ahmad Munir Mohamad Salim [1984-2006] dan Ahmad Nazeem Mohamad Salim [1993-2011] yang kedua-duanya meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan akibat penyakit Duchenne Muscular Dystrophy.

Bukan simpati yang aku cari. Jauh sekali publisiti. Itu semua tak penting bagi aku. Aku cuma mahu orang jangan jadi seperti aku yang gagal menjadi apa yang perlu aku jadi, kalau pun bukan yang terbaik.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan terus-terusan merahmati bagi yang sudi menghulurkan secebis doa buat mereka.

Terima kasih atas kesudian membaca kepedihan hati aku ini.



Thursday, October 6, 2011

ETIKA MENGHANTAR FAKS

Kali ni aku terasa nak bercakap pasal faks. Tau kan, kalau kerja di opis memang ini salah satu benda yang kita mesti hadap dan biasakan diri, sebab faks adalah salah satu cara nak menghantar dokumen dengan cepat berbanding dengan mengharapkan dispatch ataupun melalui pos.

Mula-mula sekali sebelum menghantar faks, pertimbangkan dulu langkah-langkah ni:

1. Wujudkan fax cover.

Dalam fax cover, masukkan maklumat asas pengirim seperti nama pengirim, jabatan/syarikat, nombor telefon yang patut dihubungi sekiranya dokumen yang difakskan tidak sampai sepenuhnya [contoh kalau nak hantar 5 mukasurat tapi penerima cuma dapat 2 je boleh la penerima call balik sebab ada nombor kan], jumlah mukasurat yang dihantar, nama dan alamat penerima serta tajuk dokumen yang difakskan.

Fax cover boleh dibuat in advance, bak kata orang putih, buat guna Microsoft Words, print satu dan fotostat yang selebihnya untuk kegunaan pada masa akan datang. Selain daripada mengurangkan masa kerja menghantar faks setiap kali, kerja anda juga akan nampak lebih kemas dan profesional di mata penerima. Sekarang ni image is everything kan?

2. Sebelum faks, telefon dulu orang yang paling dekat dengan mesin faks.

Logiknya kita tak tau siapa yang paling dekat dengan mesin faks di tempat penerima. Jadi jalan terbaik telefon dulu penerima faks dan tanyakan padanya nombor telefon orang yang paling dekat dengan mesin faks. Ada sesetengah organisasi melantik kakitangan khas yang tugas spesifiknya adalah menyelia, menerima dan menghantar faks.

Apa rasionalnya kita telefon dulu pihak penerima sebelum menghantar faks?

a. Mudah je – supaya kita boleh sahkan sama ada penerima memang di jabatan/agensi itu dan minta beliau standby jadi bila saja faks dihantar dia akan terus menerimanya.

b. Untuk mengelakkan kita tersalah hantar dokumen – bukan semua dokumen yang difaks sesuai untuk tatapan umum kan? Kadang-kadang kita terpaksa hantar dokumen bersifat rahsia atau P&C jadi telefon dulu sebelum faks boleh menyelamatkan kita.

c. Supaya orang yang menerima faks tu alert dengan keadaan mesin faksnya. Kadang-kadang toner atau kertasnya habis, boleh jadi yang paling dekat dengan mesin faks tu pun tak perasan. Boleh jadi juga mesin faks tu tak disambungkan kepada sumber elektrik, ada orang termatikan suisnya ke, siapa tau ya tak? Kadang-kadang ada dokumen yang tersangkut dan sebagainya.

d. Untuk mengelakkan dokumen yang difaks dilihat oleh mata yang tak sepatutnya. Jadi kalau dah diberitau in advance, penerima boleh standby dan dokumen tu hanya dapat dibaca oleh penerima sahaja, bukan oleh orang tak sewajarnya.

3. Selepas faks, telefon penerima dan sahkan penerimaan.

Ha yang ini pun penting. Untuk selamatkan diri kita jugak sebenarnya. Ramai orang yang ‘lepas tangan’ bila tiba hal menerima faks sebab nak selamatkan diri daripada dimarahi bos. Dorang akan bagi alasan “eh tak dapat pun faks” dan sebagainya. Dah kita pulak yang dapat nama buruk. Jadi untuk selamatkan diri sendiri, kita call lah sebelum dan selepas supaya penerima ni bukan je alert malah dia sedar yang dia nak tanak kene bertanggungjawab juga atas dokumen yang kita faks tu.

4. Hadkan jumlah mukasurat yang dihantar.

Kadang-kadang kita perlu hantar laporan berpuluh-puluh mukasurat. Laporan ini perlu diiringi dengan surat iringan juga kan? Ada baiknya kalau kita buat satu ringkasan yang mengandungi maklumat laporan untuk dihantar bersama fax cover dan laporan berpuluh-puluh mukasurat tu, minta sahajalah dispatch pejabat anda menghantarnya dengan tangan.

Cara ini sangat molek kalau dipertimbangkan untuk dibuat. Kita juga perlu fikirkan entah orang di pihak menerima faks tu barangkali kertasnya dah kehabisan ke sedangkan ada surat lain yang mempunyai tahap kesegeraan yang lebih tinggi berbanding dengan laporan yang kita perlu hantar tadi. Dalam bahasa mudah, jadilah orang yang munasabah dan bertimbang-rasa terhadap orang lain.

5. Sebolehnya, elak menghantar gambar.

Ada orang menghantar gambar bersekali dengan dokumen. Bukanlah nak kata cara ni salah, tapi biasanya gambar akan menjadi terlalu gelap. Kalau perlu sangat gambar dihantar, fotostatlah dulu gambar tu pada kertas A4 dan kurangkan kontra dark/light sebelum difotostat. Tapi sebaiknya, elaklah hantar gambar melalui faks. Masa kita nak hantar dokumen asal kepada penerima kita masukkanlah sekali gambar berkenaan.

Pertimbangkan juga tips no. 5 ini bila nak hantar pelan tanah contohnya. Kalau dapat, fotostat pelan dan kurangkan kadar dark pada mesin fotostat. Bila kita cerahkan sedikit fotokopinya insyaAllah penerima akan dapat melihat dengan jelas pelan yang dihantar.

Dalam erti kata lain, help people to help you. Kita tolong orang untuk tolong diri sendiri juga sebenarnya. Ada rasa nak tambah? Silalah – amat dialu-alukan okeh!

Sehingga bertemu lagi dalam entri akan datang. Terima kasih sudi baca entri pasal faks ni :)

SEMOGA KAU BAHAGIA DUNIA AKHIRAT

Tu jelah yang boleh aku katakan kepada orang yang sentiasa amik peluang buat jahat kepada orang lain.

Bukan aku nak buat satu stereotaip “asal duduk umah flat je mesti banyak masalah so-sial yang akan menjejaskan kita dalam apa cara sekalipun, sooner or later”. Sebab aku sorang yang tak suka dengan stereotaip dan sentiasa cuba melarikan diri daripada stereotaip. Aku benci stereotaip dan takkan buat stereotaip pada orang, sedaya-upaya aku.

Tapi itulah hakikatnya yang sudahnya menjadi satu stereotaip. Satu fakta yang dipersetujui dan diterima umum, bahawa kalau dah tinggal di kawasan rumah flat, memang banyaklah masalah so-sial yang muncul dan akan menjejaskan kita dalam pelbagai cara, lambat atau cepat je kita tak tau.

Aku dulu duduk di rumah kerajaan. Walaupun rumahnya biasa saja tapi kami gembira, macam satu kampung yang penduduknya sentiasa bergantung pada satu sama lain. Sakit orang kita rasa. Anak orang anak kita. Adik-beradik orang, adik-beradik kita. Mak pak orang automatik jadi mak pak kita juga. Harta benda dijaga bersama. Tanah nak bercucuk-tanam kecil-kecilan dan budak-budak bermain, walaupun tak banyak, tapi ada dan tak mengganggu orang lain, selagi pandai menjaga apa yang ditanam dan anak-anak bermain pun bukannya depan rumah orang.

Tapi bila aku menikah dan terpaksa tinggal di rumah flat sebab itu sahaja kediaman yang mampu kami ‘miliki’ buat masa ini, aku terang-terang kena kejutan budaya. Canggung, kekok, tertekan, stress dan sangat-sangat sukar menerima kenyataan bahawa dahsyatnya budaya di kawasan rumah flat.

Aku tidak memandang rumah flat itu hina. Sikit pun aku tak kata, aku lebih mulia daripada penghuni-penghuninya. Tapi, aku selalu terfikir, mana perginya sivik, moral dan timbang-rasa penghuninya sampaikan mereka jadi sangat-sangat hina sedangkan mereka secara zahirnya, tidak papa tenaga jauh sekali kedana harta.

Penduduk rumah flat kebanyakannya ‘tak kenal masa siang atau malam’. Memanglah, semua orang jadual hidupnya mana sama, ye, itu aku paham sangat. Kita tak boleh nak expect kita balik jam 5 petang dan orang lain mesti balik waktu yang sama juga. Ngarutlah camtu.

Tapi kalau jam 3 pagi hening sunyi kalau dia nak lalu depan pintu rumah kita dan menyanyi pada nada tinggi serta kuat pulak tu, ada pulak yang bertukang jam 11 malam hingga 2-3 pagi, yang bergaduh anak-beranak laki-bini jam 1-2 pagi, tak tension kah, macam tu? Macam mana agaknya kita nak hormat jiran dan anggap mereka saudara terdekat kita bila susah/nak minta tolong tengokkan rumah bila kita balik kampung ke?

Itu baru satu bab. Ni bab mencuri pulak. Haih… Hinanya hidup mencuri nih. Apa matikah kalau kita berusaha untuk dapatkan apa yang kita perlukan?

Ramai yang senang jadi pencuri. Apa yang boleh dicuri, dicuri. Waima kain baju orang sekalipun dicuri. Sekarang ni yang galak dibuat adalah minyak motor sesetengah orang yang rupanya, sentiasa diperhatikan bukan kerana model/jenis motor yang sudah dianggap ‘rare item’ tapi sebab mudahnya minyak motornya dicuri.

Mungkin juga kerana motor tidak boleh dibawa ke depan pintu rumah kita di tingkat atas, jadi ini menjadikan motor tu lagi senang dicuri minyaknya. Yelah, minyak dicuri apa sangat, kata sesetengah orang, kalau nak dibandingkan dengan motor tu sendiri yang dicuri, lagi patah kaki kita nak bergerak. Tapi apa rasionalnya justifikasi macam itu? Curi minyak boleh tapi curi motor jangan? Curi minyak motor halal tapi curi motor tu sendiri haram?

Kalau dah namanya pun curi, tetaplah curi. Takkan jadi betul jauhla sekali nak jadi halal, melainkan jika orang mencuri makanan itupun kerana terlalu lapar dan tiada daya mencari pekerjaan untuk mendapatkan wang untuk membolehkan dia membeli makanan.

Biarlah wajah kita tak cantik, tak tampan mana. Biarlah juga hidup kita sederhana biasa saja. Sebab tak ada maknanya hidup senang atas derita orang lain. Tak takut ke kalau dah sedap mencuri tu, pakai minyak motor tu ke mana-mana pergi dan nak dijadikan cerita, si pencuri lantas tergolek dog dan lagi sakit kalau kemalangan tu bapak ngeri ke?

Berbaloikah?

Lagipun dalam keadaan ekonomi sekarang, minyak motor RM4-5 diisi pun sangat-sangat terasa bila habis sebab banyak mana sangat minyak motor RM4-5 tu. Bukan semua orang sentiasa ada wang sampai ke gaji berikutnya. Pada setengah orang RM4-5 tu dah macam 40 sen 50 sen je. Tapi pada orang lain, mungkin itulah segala-galanya bagi dia.

Takpelah pencuri. Ini hari, hari kau. Apapun semoga kau bahagia dan lebih penting, SELAMAT di dunia dan akhirat.

Sehingga berjumpa lagi di lain kali. Terima kasih kerana membaca entri sakit hati aku nih.

Wednesday, October 5, 2011

BELAH KEPALA KO...

Ok entri kali ni aku mau kurang serius. Serius, aku tak tipu.

Alkisahnya semalam aku keluar dengan Mr. S yang baru je balik dari kerja. Dah lewat juga le tapi sebab perut aku ngade-ngade mintak steak [nak steak je ko!] tapi dah lewat sangat nak ke Kg. Bharu [umah saye jauh enchek] maka kami ke Restoran Syed di Bangsar. Aku tak rekomenlah korang ke sana tuk makan steak - baik lagi korang ke Kg. Bharu yang lagi banyak pilihannya. Sebab harga steak tu RM15.90 kalau tak silap aku dan aku tunggu 15 minit lebih baru dapat makan walaupun restoran tu taklah sibuk mana masa aku pergi tu [ada jugak kene cepuk ni kang eee...]

Eniwei itu kisah aku makan steak yang patut aku lemporkan aje ke muke mamak tu sebab udahle hegeh-hegeh, tak sedap pulak tu, kuah black pepper nya rasa cam bau lemari bughuk, eyyy pendek kata memang sakit ati jele yang aku dapat [ha kan dah mule keluor bahse ceghite Kak Limah Balik Rumah tu...]

Tapi apa kaitan pulak dengan tajuk entri kali ni eh? Ha camni cerita dia...

Pas makan yang boleh la kalau dah terdesak sangat tu kitorang balik. Sampai-sampai depan blok kitorang parking la motor, cam biase le kan. Lock la motor depan belakang [serik woo ilang motor skali - cukuplah!]. Tetiba ada dengar kecoh-kecoh. Sorang budak lelaki umo baru nak masuk doplohan la kot, udah ditahan dek sorang lelaki umo dalam limaplohan, badan beso siap bermisey tebal. Muka garang la konon. Sori pakcik, saya tak takot pakcik, saya riso pakcik yang takot dengan saya nanti [waiceh, cakap tanak kalah!]

Kisahnya budak laki nih disoal-siasat [nasib baik tak disiat-siat siap dah tak pasal kitorang kene gi balai lak malam-malam bute jadi saksi - eee simpang *tangan Usop Wilcha*] sebab pakcik ni rasa anak daranya diusung ke sana-sini dek budak nih. Tak kira siang malam pagi petang dibawak boncengnya merata.

Sambil jeling-jeling Mr. S [agaknya dia ingat encik Suami saya tu pun spesis bawak anak dara orang merata malam-malam macam boifren anaknya tu le], dengan tinggi suara dia kasi warning sama itu budak. Yang anaknya dah lari dulu naik ke atas, sebab nak tunjuk kot yang dia tak salah pun hehehe... Tahle.

Jujur cakap aku tak berapa gemar family ni sebab pesen yang tak hormat jiran - lalu depan umah tengah malam buta mesti sambil bergaduh adik-bradik, idok pun borak-borak macam hari masih lagi siang, kalau lagi best? Bila deme terpekik terlolong ngalahkan orang tersampuk polong tahapa dipekik-lolongkan jangan tanya akulah, aku pun tak tau kenapa deme suka camtu.

Jadi kitorang ignore je le deme nih, lantakle. Cuma yang jadi lawak bila kitorang dengar amaran keras pakcik camgarang tu kat budak laki tu,...

"KO KALAU NAK KAWAN DENGAN ANAK DARA ORANG, JANGAN BUAT CAMNI. BUAT CARA BAIK SIKIT DATANG UMAH AKU DENGAN MAK BAPAK ENGKAU. JANGAN SAMPAI AKU BELAH KEPALA ENGKAU KO JANGAN MAIN-MAIN SAMA AKU..."

Aiyo pakcik, sampei nak membelah kepale anak oghang tu apekeheinye... Pakcik janganle buat lawak... Kalau anak pakcik pun idok melayan, sama naik, idokle deme jadi ghope itu ye dak?

Pada akulah, kalau ye pun pakcik tu nak pertahankan anak perempuannya, bukan camtu caranya. Memalukan budak laki tu, memang bukan caranya. Maaf pakcik, saya bukan nak menunjuk pandai tapi logik cakap, kalau pakcik nak buat camtu dan anak pakcik pulak jenis tak galak, malam-malam duduk rumah, tak sosial dan budak laki tu pulak jenis yang kurang ajar tak makan saman selambadak je usik anak pakcik sampai ke tahap ditarik tangannya depan orang macam tak salah, ha buatlah camtu, ada juga patutnya.

Tapi ni anak pakcik pun malam-malam masih keluar merambu sana-sini. Kalau tak naik motor budak laki mana tah, dia akan merambu kat bawah blok dengan budak laki mana jugak tah.

Lagipun pakcik, pada hemat saya [alamak nak terserius pulak dah!] katakanlah, budak laki tu memang nakkan anak pakcik sebagai isterinya tapi sebab usia terlalu muda dan pendapatan tak kukuh mana, bila pakcik buat camtu, haruslah dia akan jadi berdendam. Kalau dia amik positif dan usaha keras tuk miliki anak pakcik secara sah, alhamdulillahlah. Kalau dia amik negatif dan tarik anak pakcik masuk semak mana tah dan dibalun beramai-ramai dengan kawan-kawannya? Ya ampun - mintak dijauhkanlah tapi keadaan tak mustahil gini kan?

Orang bila dah dimalukan macam tu, hati dan perasaannya luka. Membuatkan otaknya tak mustahil akan jadi terlalu marah sampai tak boleh berfikir dengan baik dan cenderung membalas dendam. Tak payahlah nak kata dia masih muda - yang dah berumur sikit pun boleh jadi macam tu juga apa?

Moralnya di sini adalah, mohle kita jadi ibubapa yang garang kat anak sendiri sebelum berani nak garang dengan anak orang :)

Sehingga entri lain kali, terima kasih kerana sudi membace.