.: COUNTLESS THANKS TO :.

Thursday, March 31, 2011

MELATA KE, MELANGIT KE, SAMA JE...

Entry kali ni berkisarkan tempat aku tinggal dan masalah-masalah yang sering timbul.

Antara sebab kukuh tempat tinggal aku ni dibina asalnya adalah untuk memindahkan penduduk setinggan demi mencapai matlamat Setinggan Sifar yang dimulakan sejak tahun 2005 tapi sasaran tu masih belum berjaya dicapai sepenuhnya hingga sekarang [tapi ada pengurangan yang ketaralah pada statistik setinggan yang masih wujud di KL terutamanya]. Selain tu juga, penduduk mana-mana kawasan perumahan yang terpaksa dipindahkan disebabkan tanah yang diduduki terlibat dalam pengambilan balik tanah untuk sebarang projek pembangunan juga akan diberi keutamaan untuk dipindahkan ke mana-mana PPR yang bersesuaian di KL nih.

Setinggan-setinggan ini cuba dihapuskan supaya dapat meningkatkan kualiti hidup warga kota KL yang masih tinggal di rumah-rumah setinggan yang bukan sahaja memburukkan rupa paras KL keseluruhannya malahan juga tidak selamat untuk didiami disebabkan mudahnya terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti taun dan penyakit lain seperti denggi, disebabkan pembangunan tidak teratur rumah-rumah setinggan ni.
[dah macam buat paper tuk boss aku la pulak nih :P]

Anyway, disebabkan penduduk setinggan dipindahkan ke rumah pangsa yang mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik dan terancang [kononnya], maka timbul pulak satu masalah lain yang aku panggil, setinggan melangit [selalu kan setinggan bersepah melata kat ceruk hutan mana dorang boleh bina struktur kediaman/bukan kediaman pun dorang akan buat kan?]

Dengan keluasan rumah yang besar juga untuk sesebuah keluarga, 3 bilik tidur dan 2 bilik air, rumah pangsa generasi baru yang dikenali sebagai PPR [Projek Perumahan Rakyat] dilihat sebagai salah satu cara menyelesaikan masalah setinggan, memandangkan keadaan rumah yang lebih selesa dan luas untuk yang menghuninya, berbanding dengan rumah pangsa sebelum ini yang dibina hanya dengan 2 atau 1 sahaja bilik dan membuatkan lebih ramai penghuninya, terlibat dengan lebih banyak masalah sosial sebab ramai yang tak tahan duduk dalam unit rumah yang kecil ya amat padahal ahli keluarga ramai.

Rumah PPR yang secara umumnya berketinggian 17 tingkat [ada juga yang lebih rendah, tapi tu di kawasan lain di KL] ni turut dilengkapi dengan 2 lif biasa dan 1 lif bomba. Bayangkan, setiap tingkat ada 2 wing, satu wing ada lebih kurang 15 pintu dan lif cuma ada 3 buah sahaja di tengah-tengah setiap blok flat.


Ok, tu dari segi fakta, sekarang kita pergi pulak kepada masalah-masalah sooo-sial yang muncul bagai nak gila disebabkan rumah PPR nih.

Disebabkan mereka biasa menduduki kawasan setinggan yang kotor, busuk, buruk dan tak semenggah, bila dapat rumah flat nih, mereka masih lagi mahu jadi setinggan yang kotor, busuk, buruk dan tak semenggah.

Motorsikal dibawa masuk ke dalam lif dan diletakkan di luar rumah yang mana laluan pejalan kakinya bukanlah besar mana pun.

Dah tu penuh pulak dengan segala macam rak kasut, kerusi tuk lepak-lepak, pasu-pasu bunga baik yang bergantungan mahupun yang disusun sepanjang koridor.

Belum lagi sentuh pasal ampaian yang dibuat betul-betul depan rumah [bukannya pada dinding luar koridor] yang mana jangan hairanlah kalau tiba-tiba anda berjalan di koridor, tercangak-cangak mencari rumah yang anda perlu pergi sambil terpaksa elak macam-macam halangan di laluan [dah macam game Istana Takeshi pun ya jugak!] dan ada pulak bra saiz besar boleh buat perah santan hinggap kat muka anda!


Sape ingat scene ni mesti paham apa maksud aku
dengan kata-kata bra boleh perah santan tu
[gambar thanks to Nadirah Itik Kuning]


Itu baru sentuh bab koridor. Belum lagi cerita bab lif.

Berapa ramai yang kencing dalam lif? Nasib baik takde yang berak je!
Yang tak malu langsung tinggal sampah berair-air dalam lif pun ramai.
Yang bengap nak mampus sampah berair-air menjejeh-jejeh pun ramai jugak, macam tak salah je bawak masuk lif. Aku terpikir, camne dorang bawak sampah yang berair & menjejeh-jejeh tu, keluar daripada rumah, tak ke rumah dorang pun ada titisan air sampah tu?
Yang muda belia nak naik/turun setakat 1-2 tingkat pun sibuk tunggu lif, lagi tak terkira. Ni kategori OKU yang baru tu kot [Orang Kurang Usaha].

Belum setahun pun blok aku ni diisi dengan penduduk yang berhak [sepatutnyalah], butang lif dah ada yang dikopak habis hingga lompong isi dalamnya. Perspeks [plastik yang diletakkan untuk melindungi lampu di siling lif] pun habis dikebas. Starter lampu lif pun hilang, kalau ada 4 batang lampu, 3 daripadanya mesti takde starter.

Dinding lif diconteng-conteng dengan kata-kata yang indah lagi mengashikkan. Silap-silap haribulan, anda beruntung kalau nampak lukisan-lukisan yang chantik dan menghiburkan.

Kisah di tangga pun tak kurang hebatnya. Bau hancing kencing setan mana tah sentiasa menyelubungi tangga, nak-nak pulak tangga yang berada di hujung blok, sebab tak ramai guna tangga hujung kan. Belum lagi cerita ia dijadikan tempat budak-budak bawah umur daripada blok flat mana entah, untuk melepas gian menghisap rokok secara sorok-sorok. Dan tah apa-apa lagi gamaknya yang dorang buat sebab yang perempuan pun selamba je duduk sama-sama dengan yang lelaki tak kiralah dah pukul berapa pun, seronok borak-borak buang masa dan kadang-kadang, terjerit pekik macam kena rogol ramai-ramai.

Yang main motor ke hulu ke hilir tak kira siang malam sambil saja-saja perah minyak lebih supaya enjin menderu kuat pun ramai. Yang kereta enjin turbo[ngok] kononnya bangga mengaumkan enjinnya macam tak salah je tiap kali melalui kawasan blok dan bila nak parking, padahal tengok kereta enjin bikin je... Bukannya kereta mahal pun. Poyo je lebih.

Cerita pasal double park dah basi dah. Kat tempat aku nih, triple quadruple park lagi. Yang cacat otak sebab rasa diri dorang bagus sangat dan tempat ni dorang punya kan, selamba je parking kat tempat OKU atau lebih baik, parking kat laluan pejalan kaki keluar/masuk ke parking tu.

Lagi satu 'kegemaran' aku adalah, jiran-jiran yang betul-betul bertimbang rasa. Tak kira jam berapa pun kalau dorang nak bertukang, pasti dorang akan buat. Kalau tak bertukang pulak, rajin bebenor masaknya, sebab pukul 11 malam pun ada yang ketuk lesung tanpa melapik bontot lesung tu, tah nak masak apa aku pun tak tau. Yelah, aku tak masak kan, orang lain semua masak, tu yang tak lapik bontot lesung tu masa nak menumbuk.

Parking motor pun best jugak. Sudahlah parking space limited sangat. Bila kita dah parking elok-elok motor, datanglah budak-budak tah dari mana ceruk tah tak kira pukul berapa nak main kat luar macam esoknya dorang tak sekolah je kan, main atas motor kita, kopek-kopek sticker motor, kutil-kutil getah kat side mirror, pegang-pegang side mirror dengan tangan melekit tah pegang apa,... macam-macam lagilah yang dorang buat. Kesian kan, mak pak dorang tak mampu nak beli motor kot, tu yang dorang rasa peghak [hairan/pelik melampau] dengan motor orang lain.

Bukan aku nak doakan yang buruk-buruk [bab rogol ramai-ramai tadi]. Bukan juga bertujuan tuk membuka pekung di dada sendiri. Tapi inilah realitinya, betapa setinggan yang dulunya melata dan kininya melangit, masih tak ada beza pun bila dah diberikan kediaman yang molek dan kemudahan yang cukup baik.

Ibarat kera diberi bunga, macam nilah. Buatlah macam mana pun nak uruskan setinggan-setinggan ni, tapi selagi takde kesedaran sivik dalam diri sendiri, selagi tulah, masalah ni takkan habis sampai bila-bila pun.

No comments: